Saturday, February 29, 2020

Resensi Novel Langit Petang Karya A. Samad Said



Tajuk : Langit Petang

Penulis : A. Samad Said

Penerbit : Lejen Press

Genre : Bacaan Umum

ISBN : 978-967-0591-490

Pengulas : Syafiqah Binti Hafiz






Karya Langit Petang ini adalah salah satu karya hebat dari Pak Samad, selain Salina. Malah, karya ini pernah diangkat ke layar perak dengan tajuk yang sama. 

Novel ini mengisahkan 3 watak utama iaitu Pak Ariff, Hafiz dan Zakiah yang hidup berjiran di sebuah perkampungan setinggan. Latar belakang persekitaran yang ditonjolkan adalah masyarakat Melayu kelas bawahan yang tinggal di kawasan setinggan. Tersepit dengan kemajuan kota disekelilingnya. Nampak seolah-olah tiada masa depan. Sanggup melakukan apa sahaja demi mencari sesuap nasi walaupun pekerjaan yang kurang elok. Pak Ariff adalah bekas pejuang kemerdekaan. Beliau pernah menuntut di Maktab Perguruan Sultan Ismail, Tanjung Malim. Disana lah beliau kenal dengan sahabat-sahabat yang sealiran dengannya termasuklah Hanafi. Kini, beliau tinggal sebatang kara dan menghabiskan masa tuanya dengan bercucuk tanam di sekeliling rumah. Manakala, Hafiz adalah seorang wartawan muda yang sangat meminati dunia sastera. Seorang pemikir. Mengimpikan kehidupan yang bebas dari belenggu kerja pejabat. Hanya duduk membaca dan menulis sahaja. Akhir sekali, Zakiah adalah seorang gadis cantik tetapi sangat berdendam dengan lelaki. Dendamnya berasas kerana Zakiah pernah terlanjur bersama kekasih, mengandung anak luar nikah dan akhirnya ditinggalkan begitu sahaja oleh sang kekasih. Sejak dari itu, Zakiah nekad untuk menundukkan seberapa banyak lelaki yang dia mampu, mengikis harta mereka demi kepuasan dirinya.

Pak Ariff dan Hafiz sering berbual dan bercerita mengenai hakikat kehidupan. Susah payah ketika menuntut kemerdekaan dan besarnya nilai pengorbanan pejuang lama kepada generasi muda sekarang. Hubungan yang akrab seperti ayah dan anak menyebabkan Pak Ariff juga sedar tentang percintaan Hafiz dan Zakiah, bekas penduduk di kampung tersebut. Namun, percintaan itu berkesudahan dengan kekecewaan yang mendalam buat Hafiz apabila Zakiah berpaling kepada lelaki lain yang dirasakannya mampu menjamin hidupnya dari segi material. Zakiah dan Hafiz pula mula rapat tatkala Hafiz membantu Zakiah ke hospital, selepas Zakiah menggugurkan kandungannya. Walaupun Hafiz sedar kehidupan sosial Zakiah serta pekerjaan sebenarnya, namun Hafiz merasakan itu adalah soal peribadi Zakiah. Persahabatan mereka lebih berkisar kepada pekerjaan Hafiz sebagai wartawan, gelagat masyarakat setempat dan nasihat agar Zakiah mengubah cara hidupnya.

Pada suatu hari, Zakiah dan Pak Ariff dikejutkan dengan tindakan Hafiz meletakkan jawatan secara tiba-tiba. Dan lebih memeranjatkan adalah Hafiz nekad untuk ke Kuala Terengganu demi menikmati keindahan alam disana. Maka, bermulalah pengembaraan Hafiz di Kuala Terengganu. Didalam perjalanan, Hafiz berkenalan dengan Hanafi, sahabat lama Pak Ariff.

Tanpa diketahui oleh sesiapa, keputusan Hafiz untuk meletakkan jawatan secara tiba-tiba dan berkelana ke Kuala Terengganu, sebenarnya menyimpan rahsia yang besar. Rahsia yang tidak sanggup untuk dikongsi walau dengan sesiapa pun. kehidupan hafiz yang menyulusuri hati dan fikirannya sebagai anak muda yang tercampak di kota besar, sebatang kara, hanya menjadikan jiran-jiran sebagai ahli keluarga, tersepit antara kehendak material dan kepuasan diri serta sebagai perakam peristiwa dan kehidupan masyarakat setempat.

Dalam masa yang sama, Zakiah datang berjumpa Pak Ariff demi mencari Hafiz. Tujuannya hanya satu, untuk kembali ke pangkuan Hafiz. Namun, kehadiran Zakiah yang telah mempunyai anak dan ditinggalkan suami, kurang disenangi oleh Pak Ariff kerana tidak mahu Hafiz terluka untuk kali ke-2. Malah, pada pandangan Pak Ariff, Hafiz yang sekarang adalah Hafiz yang berbeza dari yang pernah dikenali oleh Zakiah, beberapa tahun dahulu.


Kisah hidup Hafiz juga tidak lari oleh seorang wanita (Zakiah) yang menjadi pendamping semangat hidupnya yang juga seorang pelacur yang ingin menuntut dendam lelaki. Namun, setelah kematian Hafiz, banyak perubahan yang telah dilakukan oleh Zakiah yang cuba diolah oleh Pak Samad untuk menunjukkan pada pembaca bahawa setiap manusia tidak lari dari membuat kesilapan dan juga boleh berubah ke arah kebaikan.


Langit Petang ini ibarat seperti kehidupan kita. Muram, senja, dan akhirnya akan pergi juga. Dan begitulah juga dengan naskah ini. Penamatnya menyedihkan. Dan memberi jawapan atas segala persoalan yang bermain disepanjang pengembaraan pembaca. Naskah yang sangat bagus dan berbaloi untuk dinikmati.


Resensi Novel Langit Petang Karya A. Samad Said

Tajuk : Langit Petang Penulis : A. Samad Said Penerbit : Lejen Press Genre : Bacaan Umum ISBN :  978-967-0591-490 Pe...